GURU-GURU SK PAYA RESAK

Isnin, 16 Disember 2013

SAYA KHAIRIL AMIN MENGUCAPKAN SALAM PERPISAHAN DAN KEMAAFAN KEPADA SEMUA WARGA SEKOLAH DAN JUGA RAKAN-RAKAN GURU SETELAH MENCURAH BAKTI DI SK PAYA RESAK SELAMA 9 TAHUN SEBAGAI GPK HEM. 

BERMULA 1 DISEMBER 2013, SAYA DITUGASKAN DI SK BUKIT PAYONG SEBAGAI GPK 1 YANG MEMERLUKAN KOMITMEN DAN FOKUS YANG TINGGI UNTUK MENJULANG PENDIDIKAN YANG TERULUNG. 

Isnin, 25 November 2013

Pada 13 November 2013, Kelab Guru & Staf telah mengadakan Jamuan Akhir Tahun. Semua guru dan Staf telah menghadiri majlis ini yang diadakan di Riyaz Pulau Duyong. Dalam majlis ini juga, beberapa guru yang telah bertukar diraikan bersama iaitu Cg Asri, Cg Rohaya dan Cg Rokiah. Pihak pengurusan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru dan staf yang telah menjalankan tugas sepanjang tahun 2013. Semoga pada tahun 2014, segala pencapaian akan dapat dipertingkatkan dengan usaha bersama.

Isnin, 18 November 2013


Ustazah Che Maimunah dan Pn. Rohani akan bersara pada awal bulan Disember 2013. Oleh itu, pada 13 November 2013 yang lalu, Majlis Lambaian Kasih & Jasamu Dikenang telah diadakan dengan penuh meriah. Semua warga sekolah telah meraikan majlis ini dengan perasaan sayu dan berharap kepada yang diraikan akan terus menjalani kehidupan yang harmoni selepas bersara nanti. Pihak pengurusan sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka berdua kerana telah banyak berbakti dan berjasa kepada sekolah ini.

Isnin, 14 Oktober 2013

PROGRAM BUDAYA MENARIK KEMENJADIAN MURID

Program Gerakan Budaya Menarik Kemenjadian Murid Lepasan UPSR telah diadakan pada 13 Oktober 2013. Program ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak PPD Marang. Seramai 3 orang fasilitator dilantik untuk menjayakan program tersebut yang diketuai oleh Puan Siti Ruhaya bt Zainuddin.

PROGRAM MILO CHAMPIONS SCHOOL PROGRAMME

Pada 9 Oktober 2013, Pihak Nestle Products (M) Sdn Bhd telah mengadakan program Milo Champions School Programme di SK Paya Resak. Para pelajar telah diberi penerangan tentang sarapan dan minuman berkhasiat. Selain itu, semua terlibat dengan aktiviti sukan yang dianjurkan oleh puhak Nestle seperti permainan badminton, sepak bola dan bola jaring. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut.

Selasa, 8 Oktober 2013

LAWATAN KE KL, PUTRAJAYA & MELAKA



Pihak sekolah telah berjaya mengadakan Program Lawatan Bermaklumat pada 17 Sept hingga 21 Sept 2013. Destinasi lawatan pada tahun ini ialah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka.
      Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang telah sudi memberi sumbangan khususnya tempat penginapan dan makan minum sepanjang lawatan berlangsung.
      Pelbagai tempat menarik telah dikunjungi seperti Sunway Lagoon, Menara Kuala Lumpur, KLCC, Dataran Merdeka dan Wisma TV dan Radio di Angkasapuri.
      Pada hari Jumaat kami menuju ke Putajaya dan disambut baik kakitangan Pejabat Menteri Komunikasi dan Multimedia Media Malaysia. Sekalung penghargaan kami titipkan buat Pn Azifah, Setiausaha Sulit Kanan, Setiausaha Politik serta semua kakitangan yang sudi menerima kunjungan warga SK Paya Resak ke Menara KKMM. 
     Kemuadian kami ke Melaka dan sempat menjengah di kedai cenderamata. Selain itu, murid dan guru juga sempat ke Menara Taming Sari.




Khamis, 4 Julai 2013

RANGKUL PENSIJILAN PERAK KEBANGSAAN

TAHNIAH, kepada warga sekolah yang telah bertungkus-lumus dalam menjayakan kelestarian sekolah sehingga diiktiraf di peringkat kebangsaan. SK Paya Resak telah diberi Sijil Perak Peringkat Kebangsaan dalam Program Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar 2012. Kami berjanji akan terus mendokong usaha bagi melestarikan sekolah pada masa mendatang.

Lawatan Ke Kelantan

Rombongan guru telah berjaya mengadakan lawatan ke kelantan pada 14 Jun yang lalu.Seramai 40 orang guru dan kakitangan sekolah telah dibawa melawat ke beberapa tempat seperti tempat membuat dodoi dan Rantau Panjang. Destinasi seterusnya pula di bandar Kota Bharu.Matlamat utama program ini telah berjaya dicapai dimana menambah nilai persepakatan dan persefahaman antara guru dan kakitangan bagi mewujudkan iklim kondusif di sekolah. Tahniah.

Ahad, 30 Jun 2013

Pada 14 Mei yang lalu, Kelab Guru telah menganjurkan pertandingan ping pong. Semua guru lelaki telah memberi kerjasama bagi menjayakan pertandingan ini. Pertandingan ini dijalankan secara kalah mati dan undian telah dijalankan sehari sebelum perlawanan. Johan pertandingan ping pong untuk tahun ini dimenangi oleh Cg. Khairil PK Hem dan Naib Johan disandang oleh Ustaz Azlan PK Ko. Syabas.......

Sabtu, 11 Mei 2013

Pada 25 April yang lalu. Unit Pengawas Sekolah telah membawa pengawas sekolah ke Gambang Waterpark Pahang. Seramai 35 orang pengawas telah dipilih untuk mengikuti lawatan ini.

Ahad, 31 Mac 2013

Alhamdulillah....pihak sekolah telah melancarkan TABUNG WIRA NEGARA pada hari ini, 31 Mac 2013. Pelancaran tabung ini telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Paya Resak, En. Alias bin Abdullah. Semoga sumbangan daripada warga sekolah ini akan dapat membantu keluarga anggota pasukan keselamatan yang terkorban dan tercedera dalam operasi mempertahankan negara dari pencerobohan pengganas Sulu di Sabah.





Selasa, 19 Mac 2013


Projek Mentor mentee telah dilancar secara rasmi pada 3 Mac 2013. Guru Besar berharap melalui program ini akan memberi keberhasilan untuk membentuk keperibadian diri dan mempertingkatkan motivasi di kalangan murid. Ini merupakan satu bentuk mekanisme supaya diri murid dihargai dan disayangi dengan tunjuk ajar daripada guru yang telah dilantik. Program akan digerakkan secara intensif oleh Unit Bimbingan dan kaunseling yang diketuai oleh En. Adlan Mustakim.




Ahad, 17 Mac 2013

Seramai 106 Pengawas Sekolah dan Pustakawan menerima Sijil Watikah Pelantikan Pengawas masing-masing yang telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia, En. Nor Azmi b. Aman, Yang Dipertua PIBG pada hari ini, 17 Mac 2013. Semoga penanugerahan ini akan lebih memberi perangsang kepada pengawas untuk melaksanakan tugas yang telah diamanah.

Rabu, 13 Mac 2013


13 Mac 2013 merupakan hari penutup Minggu Keselamatan dan Kesihatan. Pada sebelah pagi diserikan dengan slot senamrobik yang dikendali oleh Pn. Suria. Selepas itu, Jabatan Bomba & Penyelamat menyampaikan ceramah dan disusuli dengan demonstrasi Cara Memadam Kebakaran.
           Pihak PDRM Marang juga telah bersama menjayakan program ini dengan mengisi slot ceramah dan pameran. Kepada pegawai PDRM dan Jabatan Bomba yang terlibat, pihak merakamkan ucapan terima kasih daun keladi........












Pejabat Kesihatan Daerah Marang dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya telah memberi khidmat ceramah dan pameran di sekolah ini sempena Minggu Keselamatan & Kesihatan Peringkat Sekolah pada 12 Mac 2013. Semoga kerjasama yang diberikan dapat memberi ilmu berguna kepada warga sekolah dalam menjalani kehidupan yang lebih selamat dan sejahtera. Pihak sekolah merakam jutaan terima kasih kepada Tn Haji Ramli daripada JKJR dan En. Zuraimi bin Razali daripada Pejabat Kesihatan daerah Marang.

Isnin, 11 Mac 2013

Pada 11 Mac 2013, pihak sekolah telah menjemput AADK Marang untuk mengadakan ceramah dan pameran. Penolong Pegawai AADK Marang, Pn. Nurul telah menyempurnakan slot ceramah AADK. Pelbagai input mengenai bahaya dadah dijelaskan dengan terperinci.

Sabtu, 9 Mac 2013

Pada 24 dan 25 Februari yang lalu, pihak kesihatan daerah Marang telah melaksanakan rawatan dan suntikan. Semua murid Tahun 6, Tahun 1 dan Pra telah menjalani pemeriksaan kesihatan. Pihak sekolah merakamkan jutaan terima kasih kepada pasukan kesihatan Daerah Marang.

Isnin, 4 Februari 2013

Seramai 265 murid telah menerima wang bantuan khas awal persekolahan. Majlis ini diadakan pada 30 Januari 2013 di kantin SK Paya Resak. Bantuan ini telah disampaikan oleh Yang Berbahagia En. Zaidi bin Muda, Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong.